http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BicaratuntutangantirugiRoslinsecaratertutup/Article/#
2010/01/26
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menolak bantahan awal bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim dan memerintahkan supaya kes tuntutan kos ganti rugi perkahwinan mereka berjumlah RM53,460, dibicarakan secara tertutup 23 Mac ini.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menolak bantahan awal bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim dan memerintahkan supaya kes tuntutan kos ganti rugi perkahwinan mereka berjumlah RM53,460, dibicarakan secara tertutup 23 Mac ini.
Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif menetapkan dua hari bermula tarikh itu bagi membolehkan Roslin, 34, dan bekas isterinya, Faizah Mohamad, 32, mengemukakan bukti dan keterangan berhubung tuntutan itu.
Terdahulu, peguam syarie Amir Nazli Hussin yang mewakili Faizah, dalam hujahnya berkata, anak guamnya tidak pernah menyangka akan menjadi ‘janda berhias’ selepas hanya 12 hari berkahwin dan mengalami tekanan perasaan yang sering menghantuinya sehingga hari ini.
“Islam mengajar umatnya terutama suami yang menceraikan isteri membayar mutaah, nafkah dan edah bagi memberi peluang untuk membina hidup baru. Isteri yang diceraikan wajar diberi peluang untuk memajukan diri.
“Tekanan perasaan dan keaiban keluarga seringkali menghantui anak guam saya sejak perceraian sehingga kini. Kini anak guam saya dipersalahkan dan dibebani tuntutan yang tidak bermaruah oleh plaintif,” katanya.
Amir Nazli berkata, alasan plaintif dia mengalami tekanan teruk kerana gagal mendapat nikmat seks dalam tempoh 12 hari perkahwinan adalah remeh, sensitif dan boleh mengaibkan jika tuntutan itu didengar dan diputuskan.
“Dalam tempoh 12 hari itu, plaintif sedia maklum mengenai kesibukan dan kepenatan anak guam saya mengendalikan majlis perkahwinan terutama ketika keluarga bertandang ke rumah plaintif di Kelantan. Plaintif juga gagal mengambil kira tempoh haid dalam 12 hari itu.
“Oleh itu, jika plaintif seorang lelaki normal, tidak sepatutnya dia mengalami tekanan kerana gagal mendapat seks dalam tempoh itu kerana dia sendiri belum bersedia menunaikan kewajipan itu ekoran banyak komitmen perlu diselesaikan,” katanya.
Menurutnya, plaintif juga tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menuntut sebarang nilaian wang atau barang berkaitan perbelanjaan merisik dan bertunang kerana perkahwinan sudah berlaku dan bukan kes berkaitan enggan berkahwin atau mungkir.
“Tuntutan plaintif atas perbelanjaan yang keluar sukar ditentukan kerana ia bercampur aduk antara hak plaintif sebagai suami, hak sebagai isteri, hak bersama sebagai suami isteri dan hak yang diiktiraf sebagai pemberian atau hadiah.
“Saya menegaskan bahawa urusan perkahwinan daripada merisik sehingga majlis perkahwinan diatur kehendak plaintif dan ejennya. Oleh itu, perbelanjaan adalah kehendak dan kerelaan plaintif sendiri tanpa paksaan daripada anak guam saya,” katanya.
Sementara itu, Roslin yang diwakili peguam syarie Roslizam Rahim dalam hujahnya berkata, isu berkaitan dengan hubungan seks adalah asas dan bukan perkara remeh.
Posted by mazhard 











